Kita Ini Tetamu Senja

Kita ini Tetamu Senja

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah kita kepada-Nya
Kita datang ini kosong tangan kosong dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada tuhan kepada insan
Pada tetamu yang datang dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula kepada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat puja pangkat
Segera kita insaf – kita punya kiblat
Segera kita ingat – kita punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke biru laut ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah seluruh rasa belas
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawalah bakti padat berkat


Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said
Utusan Zaman 13 Nov 1955

Comments

Popular posts from this blog

Insyirah... dan aktiviti semalam